PETALING JAYA – Beberapa figura terkenal, terutamanya para usahawan dan pengasas dari negeri Kelantan, tampil memberikan sokongan kepada mangsa banjir yang terjejas.
Antara yang mencuri tumpuan adalah pengasas Sambal Nyet, Khairul Aming, yang tidak ketinggalan memberikan sumbangan berupa barangan keperluan asas, pakaian, dan makanan.
Begitu juga dengan pengasas produk Ufora, Madam Supia Saupi, serta pengasas WNA Beauty, Wan Nur Amirah, yang turut tampil memberikan bantuan dan barangan keperluan harian kepada mangsa banjir.
Selain menyumbang barangan keperluan, mereka juga turut memasak dan menghantar makanan seperti bihun goreng, daging belengas dan sebagainya kepada mangsa banjir yang menetap di pusat pemindahan sementara (PPS).
Tindakan murni ini mendapat sokongan dan pujian daripada netizen, yang menghargai impak positif yang telah dibawa kepada masyarakat.
“Allah beri anak Kelantan yang berjaya, walaupun mereka tinggal di luar negeri, mereka tetap menyumbang untuk negeri kelahiran mereka,” kata Wawa.
“Walaupun saya bukan orang Kelantan, saya tetap bangga dengan ‘founder-founder’ anak Kelantan. Islam mengajarkan kita untuk menjadi kaya dan membantu orang lain dengan harta kita.” ujar Ruby.
“Ya Allah, terharu melihat anugerah Allah buat orang Kelantan. Insan-insan yang baik ini sudi berkongsi rezeki dengan yang memerlukan. Semoga mereka dimurahkan rezeki, Aamiin.” tulis Cahaya. – KOSMO! ONLINE