TUMPAT – Luluh hati dua beranak apabila rumah pusaka keluarga mereka runtuh ekoran arus deras banjir melanda Kampung Baru Nelayan di sini kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.
Mohammad Hasbullah Che Harun, 36, berkata, dia menyedari arus deras menghempas rumahnya yang diperbuat daripada kayu pada bahagian atas, manakala bahagian bawah binaan batu selepas air mula melimpah jalan.
“Ketika mengemas, saya rasa rumah seperti bergoyang. Tiba-tiba lantai di bahagian ruang tamu patah. Saya segera membawa ibu keluar dan tidak lama kemudian rumah itu runtuh. Laluan untuk masuk ke rumah juga sudah terputus hubungan,” katanya ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Mohammad Hasbullah bimbang rumahnya akan hanyut kerana paras air semakin meningkat dan menyifatkan banjir kali ini sangat luar biasa kerana kawasan itu bebas bencana tersebut sebelum ini. – KOSMO! ONLINE