GUA MUSANG – Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli yang menjadi laluan utama kepada lebih 3,000 penduduk di lapan buah kampung di sekitar mukim Jerek di sini runtuh akibat mendapan tanah semalam.
Penghulu Mukim Jerek, Mohd. Jafri Rameli, 54, berkata, kejadian tanah runtuh itu dikesan berlaku pada pukul 10 pagi semalam sebelum ditutup kepada semua kenderaan sejak pukul 10 malam tadi.
Katanya, cuaca hujan telah mengakibatkan hakisan tanah merebak sebelum struktur jalan tersebut retak serta runtuh.
“Pada mulanya hanya mendapan jalan sebelum runtuhan berlaku di sebelah kanan iaitu jalan dari Gua Musang menghala ke Jeli.
“Namun, tidak lama selepas itu runtuhan merebak pula ke bahagian tengah sehingga satu laluan jalan. Kami bersyukur insiden itu tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli di sini hari ini.
Mohd. Jafri menyifatkan kejadian itu luar biasa dan mengejutkan penduduk kerana kejadian itu tidak pernah berlaku sejak lebih 30 tahun lalu.
Katanya, kejadian jalan runtuh itu menyebabkan penduduk di beberapa kampung seperti Kampung Dalam Lah, Kampung Jerek dan Kampung Meranto terputus hubungan untuk ke Jeli.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Mohamed Khalid Sulaiman, 72, pula berkata, kejadian jalan runtuh menyebabkan pelajar di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Meranto terkandas tidak dapat ke sekolah. – KOSMO! ONLINE