fbpx

Tujuh sekeluarga termasuk bayi redah banjir lebih satu meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rohaida (kiri) ditemani Nur Hidayah di Pekan Dangi menunjukkan gambar kenderaan yang masih terendam separuh dalam banjir. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH / KOSMO!

KUALA PILAH – Tujuh sekeluarga termasuk bayi lelaki berusia 10 bulan nekad meredah air lebih satu meter selepas kenderaan yang dinaiki dihanyutkan air deras banjir di Jalan Dangi-Bahau, di sini, awal pagi semalam.

Rohaida Razali, 29, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan bersama suami, Akhir Abdul Talib, 32, tiga anaknya termasuk bayi serta dua anak buah berusia hingga tujuh tahun dari Pondoi, Tampin ke rumah kakaknya di Kampung Sawah Lebar, Kuala Pilah.

Menurutnya, ketika kejadian dia meminjam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora kakaknya, Nur Hidayah, 35, kerana turut membawa bekalan pelbagai jenis sayur-sayuran seberat 50 kilogram untuk dijual dalam Program Jualan Rahmah Madani.

“Kereta saya (Perodua Kancil) memang tak muat. Jadi saya pinjam kereta kakak. Masa dalam perjalanan tu memang tengah hujan. Mula-mula air sedikit sahaja atas jalan, suami teruskan perjalanan. Air deras tiba-tiba lalu dan kenderaan kami dihanyutkan.

“Ketinggian air sudah sampai setengah kenderaan dan kenderaan tersekat dalam longkang. Kami hubungi pasukan penyelamat dan diarahkan untuk tunggu di lokasi di atas bumbung kenderaan sementara menunggu bantuan tiba.

“Kami naik ke atas bumbung, namun air naik mendadak menyebabkan suami mengambil keputusan untuk segera meredah banjir ke kawasan lebih selamat. Mujur ada tiga pelampung di dalam kenderaan dan anak-anak kecil berkongsi menggunakannya,” katanya ketika ditemui pemberita di Pekan Dangi di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI