KEKALAHAN kepada Muangthong United dalam debutnya tidak beri kesan besar buat pengendali baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi yang optimis mampu memberikan kegembiraan buat penyokong.
Jurulatih dari Jepun itu kini akan mengalih tumpuan buatn pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang Sri Pahang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.
Berdasarkan pemain yang ada, Kinoshi percaya Selangor FC mempunyai kualiti untuk meraih kemenangan, namun kini harus memastikan anak buahnya benar-benar bersedia untuk keluar daripada kekecewaan.
“Kami ada banyak perlawanan selepas ini dan apa yang pemain tunjukkan, saya begitu gembira dengan tahap kecergasan mereka. Perlawanan selepas ini kami kena hasilkan jaringan dan itu adalah tugas saya untuk memastikan kami bersiap sedia untuk hadapinya.
“Kami kena tukar mentaliti dan saya yakin kami sebenarnya mampu buat. Untuk aksi selepas ini, kami perlu berikan kemenangan kepada penyokong kami,” katanya.
Selepas sekadar seri 1-1 pada aksi pertama di Stadium Temerloh, 23 Oktober lalu, Gergasi Merah kini tiada pilihan lain kecuali memastikan kemenangan bagi menyamai pencapaian musim lalu layak ke suku akhir.
“Saya harap perlawanan selepas ini kami dapat jaringkan gol kerana kami tidak berlatih untuk melakukan sepakan ke arah tiang,” katanya merujuk kepada beberapa percubaan pemainnya terkena tiang pada aksi menentang Muangthong United.