MANCHESTER – Selepas mengharungi enam perlawanan penuh malang, Manchester City berdepan kesukaran untuk melakar detik kebangkitan apabila perlu berdepan Liverpool di Anfield pada aksi tengah malam ini.
Lima kekalahan yang dialami sejak penghujung Oktober dan mensia-siakan kelebihan tiga gol pada aksi terakhir menentang Feyenoord apabila hanya mampu meraih keputusan seri 3-3, aksi minggu ini adalah paling mencabar buat The Citizens.
Selepas mengakui peluang mereka untuk melakar kebangkitan dengan meraih semula kemenangan ketika bertemu Feyenoord, pengendali City, Pep Guardiola mungkin berdepan kemungkinan mengalami satu lagi kekalahan berdepan Liverpool yang berada pada prestasi terbaik ketika ini.
Kehilangan beberapa pemain tonggak membuatkan Guardiola seakan ‘mati akal’ untuk menyenaraikan skuad terbaiknya terutama selepas kehilangan tonggak utama, Rodri dan pemain muda Oscar Bobb.
Terbaharu, pengurus yang dianggap paling hebat di dunia itu berdepan satu lagi masalah apabila pengganti Rodri, Mateo Kovacic dilaporkan bakal terlepas aksi di Anfield ekoran masalah kesihatan.
Mereka juga belum dapat mengesahkan tahap kecergasan John Stones yang terpaksa dikeluarkan pada babak kedua ketika tewas 0-4 kepada Tottenham Hotspur, malah Jeremy Doku juga turut diragui untuk berada dalam senarai skuad kali ini.
Penganalisis bola sepak England, Danny Murphy percaya masalah yang dihadapi City ketika ini bukanlah berpunca daripada masalah mental dan keyakinan sebaliknya mereka berdepan cabaran dari aspek fizikal.
“Ia bukanlah suatu yang biasa untuk mengatakan masalah keyakinan menyebabkan satu pasukan terkesan, sebaliknya ia membabitkan individu. Saya percaya masalah yang melanda City disebabkan isu fizikal.
“Mereka hilang ketabahan dan kekuatan untuk menyamai apa yang dilakukan sebelum ini. Ia bukan mengenai kesungguhan, tetapi pemain tidak berada pada tahap kecergasan terbaik kerana kecederaan,” jelasnya. – AGENSI