PASIR MAS – Polis menerima sebanyak 107 panggilan palsu daripada individu tidak bertanggungjawab yang memohon bantuan banjir di daerah ini semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, perbuatan dilihat banyak membuang masa dan tenaga anggota penyelamat untuk turun ke lokasi terjejas banjir.
Menurutnya, panggilan palsu itu diketahui selepas anggota pasukan penyelamat bergegas ke lokasi tersebut sebelum mendapati tiada mangsa di situ.
“Bukan mudah untuk pasukan penyelamat untuk tiba di lokasi bagi menghulurkan bantuan kerana ia mengambil masa yang panjang.
“Semua perlu mengambil sikap tanggungjawab terutamanya dalam situasi banjir yang melanda seluruh Kelantan ketika ini,” katanya pada sidang akhbar di Pondok Polis Repek di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya akan membuat tapisan terhadap setiap panggilan diterima sebelum mengatur gerak petugas ke lokasi yang dilaporkan. – KOSMO! ONLINE