JOHOR BAHRU – Seorang pengurus akaun sebuah syarikat swasta berputih mata setelah pelaburan lebih RM444,000 hangus begitu sahaja akibat terperdaya pelaburan saham tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan mangsa yang berusia 53 tahun, semalam.
Katanya, mangsa mendakwa kejadian itu bermula awal Julai lalu setelah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai perunding pelaburan saham dan mengajak mangsa melabur dalam pasaran saham tersebut.
Tambahnya, mangsa kemudian dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp yang dipercayai berkaitan dengan pelaburan saham yang ditawarkan.
“Pada penghujung Oktober hingga 22 November lalu, mangsa membuat pelaburan saham menerusi aplikasi dalam talian dan memindahkan RM444,000 ke dalam tujuh akaun berbeza, melibatkan 16 transaksi dalam tempoh kurang sebulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE