KUALA LUMPUR – Sebanyak 124 stesen pemancar komunikasi didapati terjejas, manakala 47 Pusat Sebaran Maklumat Nasional tidak dapat beroperasi kerana mengalami kerosakan fasiliti akibat banjir yang sedang melanda beberapa negeri ketika ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, selain itu sebanyak 23 Komuniti Madani dilaporkan terjejas di Terengganu, manakala status di negeri-negeri lain sedang dikenal pasti Jabatan Penerangan (Japen).
“Untuk isu telekomunikasi itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah mengambil langkah proaktif bagi menangani masalah liputan di kawasan terjejas termasuk menyelaras kerja-kerja baik pulih infrastruktur komunikasi agar penduduk dapat terus berhubung semasa bencana.
“Kita juga akan mengatur pergerakan komuniti Madani daripada negeri yang tidak terjejas banjir bersama warga kementerian, untuk menghulurkan bantuan kepada kawasan terkesan terutamanya dalam soal pembersihan selepas air surut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Komunikasi di Pantai Dalam, di sini hari ini.
Setakat hari ini, keadaan banjir di tujuh negeri dilaporkan semakin buruk dengan peningkatan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) kini mencecah lebih 120,000 orang berbanding 106,505 orang malam tadi.
Dalam pada itu, Tabung Bantuan Bencana Banjir Kementerian Komunikasi telah diaktifkan bagi memberikan bantuan segera kepada warga kementerian yang terjejas akibat bencana banjir.
Fahmi berkata, pengaktifan tabung yang telah ditubuhkan sejak 2022 itu adalah bagi meringankan beban 54 warga kementerian yang telah dikenal pasti terkesan akibat bencana berkenaan.
Jelasnya, mangsa yang terlibat terdiri daripada tiga kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), 26 warga Japen, dua daripada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), 20 petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM), dua mangsa MCMC dan satu kakitangan kementerian.
“Saya dapati ada sekurang-kurangnya 13 pengamal media terjejas akibat banjir. Untuk itu saya telah minta Bernama untuk terus pantau dan beri sumbangan kepada semua mangsa menerusi Tabung Kasih HAWANA (Hari Wartawan Nasional),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.