PETALING JAYA – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan melaksanakan penurunan harga Beras Putih Import di pintu gudang mereka di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 kepada RM2,800 per tan metrik, berkuat kuasa esok.
Bernas dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat bagi mendokong usaha kerajaan untuk melihat harga Beras Putih Import (BPI) berada pada paras yang lebih rendah bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia.
“Pelarasan harga ini sejajar dengan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan didorong oleh faktor penurunan harga semasa pasaran beras dunia ekoran penarikan balik larangan eksport serta pemansuhan duti eksport bagi beras putih bukan basmati oleh kerajaan India baru-baru ini,” jelas kenyataan tersebut hari ini.
Terdahulu, pada Mac lalu, Bernas telah menurunkan harga BPI daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik di Semenanjung Malaysia,.
“Walaupun pada masa itu trend harga BPI masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas. Ia jelas membuktikan komitmen Bernas yang sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pemain industri bagi menjamin ketersediaan produk dan mendokong agenda keterjaminan makanan,” katanya.
Pada masa ini, Malaysia masih kekal menawarkan harga import beras terendah di rantau Asia Tenggara.
“Bernas akan terus mengamalkan pendekatan proaktif dalam memantau keadaan pasaran global dan menyesuaikan harga mengikut keperluan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.