PETALING JAYA – Keadaan banjir di Rantau Panjang, Kelantan, semakin membimbangkan apabila kebanyakan rumah hanya kelihatan bumbung akibat paras air semakin meningkat.
Tinjauan Kosmo! menerusi siaran langsung TikTok oleh mangsa banjir menunjukkan keadaan air yang sangat tinggi sehingga melepasi paras kepala.
“Rumah-rumah banyak yang hanya kelihatan bumbung saja. Ada juga yang tenggelam sepenuhnya. Keadaan sangat teruk,” luah seorang mangsa dalam siaran langsung di TikTok.
“Kalau rumah dua tingkat, bahagian bawah memang sudah dipenuhi air. Kami hanya sempat selamatkan barang-barang penting ke bahagian atas,” kata seorang lagi mangsa yang turut berkongsi keadaan banjir melalui siaran langsung di TikTok.
Setakat ini, paras air di kawasan Rantau Panjang masih belum menunjukkan tanda-tanda surut sejak semalam.
Menurut data terkini di portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 287 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka, melibatkan 10 daerah di Kelantan. Seramai 90,330 mangsa daripada 28,001 keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS berdekatan.
Orang ramai dinasihatkan agar terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk keselamatan diri dan keluarga. – KOSMO! ONLINE
Di Cabang 4 Salam, Rantau Panjang. Kat situ kira agak jauh dari Sg Golok, pun dah tenggelam tara tu.
Rantau Panjang memang dah melebihi paras banjir 2014, daerah lain seperti di KB belum lagi.
Doakan semua di Rantau Panjang, termasuk keluarga mentua aku selamat. 🤲🤲🤲 pic.twitter.com/v6yXA9MRlu
— Najib Bakar (@najib_bakar_) November 29, 2024