PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan salam takziah buat ahli keluarga mangsa tanah runtuh melibatkan dua beradik.
Ahamd Zahid pada hantaran di aplikasi Instagram berkata, kejadian berkenaan berlaku di Kampung Bukit Apit, Ajil, Hulu Terengganu meragut nyawa Puteri Sajidah Azman, 16 dan adiknya Fatimah, 13.
“Di saat negara kita sedang menghadapi ujian bencana banjir, kita dikejutkan dengan satu lagi berita duka mengenai kejadian tanah runtuh yang telah meragut nyawa dua beradik.
“Saya mendoakan agar roh kedua-dua Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” katanya hari ini.
Beliau turut mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi dugaan yang sangat berat ini.
Semalam Kosmo! melaporkan, dua beradik perempuan disahkan maut manakala abang mereka pula cedera dalam runtuhan rumah yang dihempap tanah.
Kejadian pada pukul 4.59 petang itu meragut nyawa dua beradik dikenali sebagai Puteri Sajidah dan Siti Fatimah.
Abang mereka dikenali Uzair pula yang cedera telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. – KOSMO! ONLINE