fbpx

Lelaki menyamar pelanggan curi, jual jam tangan Rolex diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SUBANG JAYA – Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam kes mencuri jam tangan mewah jenama Rolex bernilai RM64,000 di sebuah kedai barangan berjenama di SS16 di sini pada 23 November lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian pada pukul 10.40 pagi itu, suspek berpura-pura menyamar sebagai pelanggan sebelum mencuri aksesori di premis berkenaan.

“Mangsa (wanita tempatan) menyedari kehilangan jam tangan itu beberapa jam kemudian. Kerugian dianggarkan RM64,000,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau memberitahu, hasil siasatan pihaknya menahan suspek di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur pada pukul 4.15 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati lelaki berusia 44 tahun itu menjual jam tangan tersebut di sebuah kedai barangan berjenama di ibu negara pada harga RM25,000. Kita berjaya merampas semula jam tangan itu,” katanya.

Wan Azlan memberitahu, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini untuk permohonan reman,” katanya.

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan masyarakat terjamin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI