PETALING JAYA – Jumlah mangsa banjir di sembilan negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Selangor, Perlis, Melaka, Johor dan Perak terus meningkat kepada 123,679 orang daripada 37,219 keluarga setakat pukul 9.30 pagi ini.
Ketika ini, sebanyak 706 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negara.
Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan kekal sebagai negeri tertinggi merekodkan jumlah mangsa banjir seramai 82,447 orang membabitkan 25,459 keluarga di 279 PPS sekitar 10 daerah.
Sementara itu, di Terengganu, seramai 32,963 mangsa banjir membabitkan 9,295 keluarga sedang berlindung di 334 PPS yang beroperasi di lapan daerah, manakala di Kedah, 50 PPS dibuka di enam daerah yang menempatkan 4,566 mangsa banjir daripada 1,435 keluarga.
Di Negeri Sembilan pula, 2,159 mangsa membabitkan 609 keluarga di empat daerah kini ditempatkan di 21 PPS.
Sementara itu, di Perlis sebanyak empat PPS dibuka bagi menempatkan seramai 488 mangsa daripada 145 keluarga di tiga daerah.
Selain itu, satu PPS dibuka di Perak membabitkan satu daerah bagi menempatkan 20 mangsa daripada tujuh keluarga, manakala 339 mangsa kini berlindung di sembilan PPS dalam dua daerah di Johor.
Di Selangor, 468 mangsa daripada 105 keluarga dan kesemua mereka berlindung di dua PPS (satu daerah), serta seramai 229 mangsa (62 keluarga) menumpang teduh di lima PPS yang dibuka di Melaka (tiga daerah). – KOSMO! ONLINE