fbpx

TC Poultry Farm dianugerah sijil HFAC, transformasi penting dalam sektor penternakan ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Luiz Mazzon (dua dari kiri) menyampaikan pensijilan Certified Humane oleh Humane Farm Animal Care kepada Tiew Siew Sien.

PETALING JAYA – Industri penternakan ayam bebas sangkar di Malaysia mencatatkan kemajuan yang signifikan apabila ladang tempatan, TC Poultry Farm dianugerahkan pensijilan Certified Humane oleh Humane Farm Animal Care (HFAC).

Pensijilan itu bukan sekadar satu pengiktirafan dalam aspek kebajikan haiwan, tetapi juga dilihat sebagai pemangkin transformasi dalam sektor ekonomi penternakan ayam penelur negara.

Pengarah Global HFAC, Luiz Mazzon berkata,  dalam konteks global yang semakin menitikberatkan amalan beretika dan mampan, Malaysia kini berada di barisan hadapan di rantau Asia dengan mengiktiraf amalan penternakan bebas sangkar.

Peralihan itu katanya, dijangka memberi impak positif terhadap daya saing produk tempatan di pasaran antarabangsa, khususnya dalam sektor eksport makanan.

“‘Pensijilan ini bukan sekadar kejayaan untuk ladang berkenaan, tetapi mencerminkan permintaan pengguna yang semakin peka terhadap produk dihasilkan secara beretika dan mampan.

“Pensijilan ini membuktikan Malaysia bersedia memenuhi standard antarabangsa, sekaligus membuka peluang pasaran yang lebih luas untuk telur bebas sangkar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pertubuhan Pengeluar Telur Bebas Sangkar Malaysia (PPTBSM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, , Penasihat Kanan Kebajikan Haiwan Ladang, Polisi dan Penglibatan Korporat di Humane Society International (HSI), Dr Saravanakumar S.Pillai berkata, peralihan itu menunjukkan perubahan struktural yang signifikan dalam industri penternakan ayam penelur negara.

“Pensijilan ini bukan sahaja mengiktiraf ‘kebajikan’ haiwan ternakan tetapi juga memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju dalam sektor penternakan mampan,” ujarnya.

Pensijilan Certified Humane menuntut ladang-ladang penternakan mematuhi standard tinggi, termasuk penjagaan kebajikan haiwan, makanan, kualiti air dan pengurusan keseluruhan.

Proses audit yang menyeluruh dan ketat itu memberi jaminan kepada pengguna bahawa produk yang dihasilkan menepati piawaian antarabangsa.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan TC Poultry Farm, Tiew Siew Sien menyifatkan pengiktirafan itu sebagai hasil dedikasi pasukannya ke arah amalan penternakan beretika.

Beliau berharap, ia menjadi dorongan kepada lebih banyak ladang di Malaysia untuk mengikut jejak langkah itu.

Langkah ke arah penternakan bebas sangkar itu dijangka meningkatkan reputasi Malaysia sebagai hab pengeluaran telur bebas sangkar di Asia, seiring dengan peningkatan kesedaran global mengenai kebajikan haiwan.

Usaha itu turut menanda aras bagi pelbagai inisiatif baharu dalam memperkukuh ekonomi penternakan negara secara mampan dan beretika. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI