ALOR SETAR – Empat penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini pada hari ini serta dua penerbangan pada pagi esok dibatalkan selepas landasan kapal terbang dinaiki air sejak petang tadi.
Menerusi semakan di skrin maklumat di LTSAH mendapati, dua penerbangan yang dibatalkan hari ini adalah ke Kuala Lumpur dan masing-masing satu ke Subang dan Johor Bahru.
Seorang petugas yang enggan dikenali memaklumkan, pihak pengurusan lapangan terbang akan membuat pengumuman mengenai keadaan semasa pada esok.
“Bergantung keadaan tengah hari esok macam mana, mungkin akan ada pengumuman lain,” katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, Malaysia Airport mengeluarkan Notis kepada Juruterbang (NOTAM) di LTSAH hari ini dan menutup landasan terbang di lapangan terbang itu buat sementara waktu susulan kejadian banjir.
Walau bagaimanapun, terminal lapangan terbang itu tetap dibuka dan menasihatkan penumpang menyemak dengan syarikat penerbangan mereka untuk mendapatkan maklumat penerbangan terkini.
Sementara itu, beberapa penumpang yang ditemui mengakui tergamam selepas dimaklumkan mengenai pembatalan penerbangan mereka.
Jasni Effendi Md. Hasan, 53, dari Kangar, Perlis berkata, dia sepatutnya menaiki penerbangan ke Subang pada pukul 8.45 malam ini bersama ahli keluarga untuk bercuti di Puchong.
“Saya tak tahu macam mana sekarang sebab hotel sudah tempah, perancangan lama dah buat nak bawa anak-anak naik kapal terbang, tapi mungkin kami terpaksa berpatah balik ke Kangar,” katanya ketika ditemui di LTSAH.
Ujarnya, dia tidak mengetahui bahawa landasan terbang LTSAH dinaiki air, namun dimaklumkan oleh rakan-rakan bahawa kawasan sekitar lapangan terbang itu mengalami banjir yang agak teruk.
Seorang lagi penumpang, Achilleus Arthur, 19, berkata, dia hanya mengetahui pembatalan penerbangan itu sebaik tiba di lapangan terbang kira-kira pukul 5 petang tadi dan tidak tahu apa yang harus dilakukan ekoran keadaan itu.
“Memang sekarang ini bingung, dari pukul 5 petang sampai sekarang saya hanya duduk di sini tak tahu nak buat apa, sebab berlaku saat-saat akhir.
“Saya belajar di Universiti Malaysia Perlis dan baru selesai menduduki peperiksaan hari ini dan bercadang pulang ke Tuaran, Sabah sempena cuti pertengahan semester. Sekarang saya masih berfikir sama ada nak tukar tarikh atau minta dikembalikan wang dan tunggu keadaan esok untuk buat keputusan,” katanya. – KOSMO! ONLINE