HULU TERENGGANU – Dua beradik perempuan disahkan maut manakala abang mereka pula cedera dalam runtuhan rumah yang dihempap tanah di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 4.59 petang itu meragut nyawa dua beradik dikenali sebagai Puteri Sajidah Azman,16, dan Siti Fatimah, 13.
Abang mereka dikenali Uzair pula yang cedera telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah(HSNZ), Kuala Terengganu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, sepasukan anggota bomba bergegas lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung insiden tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiga mangsa didapati telah tertimbus. Mangsa pertama iaitu seorang lelaki (Uzair) yang cedera berjaya dikeluarkan pada pukul 5.17 petang.
“Mangsa kedua dan ketiga pula masing-masing berjaya dikeluarkan pukul 6.32 petang dan pukul 6.59 petang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Tambah beliau, mayat Puteri Sajidah dan Siti Fatimah ditemukan berdekatan antara satu sama lain.
“Kedua mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE