KUALA LUMPUR – Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan meletakkan diri mereka dalam keadaan selesa ketika membuat penampilan pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China bulan depan.
Aaron mengakui biarpun tiada kelibat pasangan terkuat dunia, ia bukan satu tiket mudah buat mereka untuk merangkul gelaran WTF yang berlangsung dari 11 hingga 15 Disember nanti.
Pada saingan tersebut, pasangan nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, dan beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae tidak berjaya untuk melayakkan diri ke kejohanan tersebut.
“Peluang untuk merebut gelaran lebih terbuka namun persaingan tetap sengit. Kami tidak boleh memandang rendah pasangan lain seperti Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia, He Ji Ting-Ren Xiang Yu (China), serta Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark).
“Biarpun gandingan No.3 dunia tidak berada di WTF nanti, ada lagi beberapa beregu yang kuat dan kompetitif. Jadi, kami hanya membuat terbaik katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Affin Bank dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Menara AFFIN, TRX di sini hari ini.
Sementara itu, Aaron mengakui mereka bersyukur kerana berjaya melayakkan diri ke kejohanan tersebut, walaupun terpaksa berdepan cabaran akibat kecederaan Wooi Yik sebelum ini.
“Kejayaan melayakkan diri di saat akhir selepas aksi di China Masters baru-baru ini adalah rezeki buat kami. Jadi, kami hanya mahu memberikan aksi terbaik,” katanya.
Selain Aaron-Wooi Yik, Malaysia turut diwakili beregu terbaik negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.
Sementara itu, BAM menerima durian runtuh apabila Affin Bank Berhad mengumumkan lanjutan tajaan selama tiga tahun untuk memperluaskan sokongan bukan sahaja kepada program junior tetapi kini meliputi seluruh skuad kebangsaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, perjanjian bernilai jutaan ringgit itu adalah langkah strategik dalam membawa badminton Malaysia ke tahap lebih tinggi.
“Kami telah menandatangani kontrak selama tiga tahun untuk memastikan Malaysia terus menjadi kuasa besar badminton dunia. Pada mulanya, kami menaja program junior, tetapi kini sokongan itu diperluaskan kepada seluruh pasukan kebangsaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE