KOTA BHARU – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) boleh dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya pusat pemindahan sedia ada yang sudah dibuka untuk menempatkan mangsa banjir di Kelantan penuh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini, MRSM Tumpat sudah dibuka untuk dijadikan PPS bagi menempatkan mangsa banjir di daerah tersebut.
Menurutnya, kebenaran itu diberikan sekiranya PPS di kawasan yang terjejas banjir penuh.
“Setakat ini, sebanyak 257 PPS sudah dibuka di Kelantan. Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat memutuskan bahawa MRSM boleh dijadikan PPS.
“Kebenaran khas telah diberikan untuk membuka PPS baharu. MRSM Tumpat juga telah digunakan untuk dijadikan PPS,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang di sini hari ini.
Ahmad Zahid memberitahu, pihaknya sudah menyelaraskan perkara itu dengan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Kelantan untuk mengambil maklum mengenai arahan tersebut. – KOSMO! ONLINE