PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan keadaan hujan yang sangat lebat sehingga esok membabitkan beberapa kawasan sekitar Kelantan serta seluruh negeri Terengganu.
Oleh itu, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya bagi kawasan terlibat berkuat kuasa sehingga esok.
“Antara kawasan terlibat di Kelantan adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, amaran hujan berterusan tahap buruk pula dikeluarkan membabitkan negeri Perak (Hulu Perak), Kelantan (Gua Musang), Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) berkuat kuasa sehingga esok.
“Bagi tahap waspada, ia tertumpu seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera) serta Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE