NEW YORK – Anak kepada seorang hakim di New York ditangkap kelmarin kerana menyertai rusuhan ganas di bangunan Capitol minggu lalu, selepas beratus-ratus penyokong Donald Trump berarak ke premis berkenaan, kata pendakwa raya.
Aaron Mostofsky, 34, ialah antara penyokong pro-Trump yang ditahan dan dihadapkan ke mahkamah berhubung insiden keganasan pada Rabu lalu sehingga menyebabkan wakil-wakil rakyat lari untuk menyelamatkan diri.
Mostofsky didakwa atas empat pertuduhan termasuk mencuri harta milik kerajaan, kemasukan secara haram dalam bangunan terkawal dan perbuatan tidak senonoh, menurut kertas pendakwaan.
Pihak pendakwa menyatakan dia dipercayai mencuri satu perisai polis rusuhan dan ves kalis peluru.
Pihak tersebut mengaitkan dakwaan itu dengan beberapa gambar Mostofsky termasuk di laman Instagram tertuduh yang memaparkan dia berada dalam bangunan Capitol bersama perisai dan ves tersebut.
Tertuduh juga dikatakan memakai pakaian berasaskan bulu haiwan dan memegang sebatang kayu.
Mostofsky berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika disabitkan bersalah kes mencuri harta milik kerajaan.
Kelmarin, tertuduh dibawa ke hadapan seorang hakim di Brooklyn yang membebaskannya dengan jaminan bersama beberapa syarat seperti tidak boleh menyertai rali politik serta keluar dari Bandar Raya New York tanpa kebenaran.
Bapa Mostofsky, Shlomo Mostofsky ialah seorang hakim Mahkamah Agung negeri di Brooklyn dan figura penting dalam komuniti Yahudi Ortodoks di New York. – AFP