SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan tidak pernah mengeluarkan sijil pelelong kepada mana-mana individu dalam proses lelongan bagi memastikan ketelusan.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pelupusan kenderaan sita yang dilakukan oleh JPJ adalah melalui kaedah lelongan awam dan tidak melibatkan mana-mana pihak ketiga.
“Bagi memastikan pelaksanaan lelongan awam dilakukan dengan telus dan adil, sesi lelongan ini turut dihadiri oleh pegawai dari Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai pemerhati.
“Ini adalah untuk menjamin bahawa semua proses lelongan dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan dan tidak ada sebarang penipuan yang berlaku,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Hanif Yusabra berkata, sehubungan itu JPJ Negeri Sembilan menasihatkan pihak yang terlibat dalam penipuan pembelian kenderaan lelong terutama melalui platform dalam talian untuk tampil membuat laporan polis. – KOSMO! ONLINE