ALOR SETAR – Kejadian banjir di enam daerah di negeri ini didapati lebih buruk berbanding yang berlaku pada pertengahan September lalu.
Ia berikutan banyak kawasan yang tidak dinaiki air sebelum ini turut terjejas, sekali gus menyebabkan lebih ramai terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Sehingga pukul 4 petang ini, seramai 5,701 mangsa daripada 1,715 keluarga dipindahkan ke 43 PPS yang dibuka di daerah Padang Terap, Kubang Pasu, Kota Setar, Sik, Pokok Sena dan Kuala Muda.
Menurut seorang mangsa, Nor Amiza Ahmad Shukri, 42, yang tinggal di Kampung Semeliang, Kuala Nerang, dekat sini, sebelum ini rumahnya turut dinaiki air namun tidak seteruk kali ini.
“Saya hanya menyedari air masuk ke dalam rumah pada pukul 8 malam kelmarin dan ketika itu hanya paras buku lali, namun kira-kira enam jam kemudian, air masuk deras sehingga paras 0.5 meter.
“Selepas itu kira-kira pukul 4 pagi, kawasan hadapan rumah saya sudah dipenuhi air yang laju dan deras setinggi kira-kira dua meter,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nerang, di sini hari ini.
Katanya, ketika itu mereka berdepan detik cemas apabila dia bersama suami dan anak mereka terpaksa berlindung di atas tembok hadapan rumah untuk dibawa keluar ke tempat selamat.
“Kami terpaksa menunggu bantuan lebih tiga jam di atas tembok rumah yang ditenggelami air sambil cuba menghubungi pasukan penyelamat seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis.
“Mungkin ketika itu mereka sibuk selain rumah saya jauh sedikit dari jalan raya menyebabkan bantuan lambat sampai dan sebagai jalan terakhir, saya terpaksa meminta bantuan dengan memuat naik status di media sosial.
“Alhamdulillah, syukur kerana ada yang datang membantu kira-kira pukul 7.30 pagi selepas berada di atas tembok itu sejak pukul 4.30 pagi kerana tidak boleh ke mana-mana,” katanya.
Sementara itu, Muslim Hider, 38, berkata, banyak jalan raya yang terputus akibat banjir kali ini termasuk di Kampung Barokhas yang didiaminya.
“Memang amat teruk banjir kali ini seakan sama seperti kejadian pada 2010 yang ketika itu stesen minyak di kampung ini turut dinaiki air lebih dua meter.
“Kami cuma berharap tidak berlaku lagi hujan dalam tempoh berpanjangan dalam sehari dua ini kerana ia mungkin memburukkan keadaan, apatah lagi empangan berdekatan turut dipenuhi air,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE