ISU buli di set penggambaran hangat diperkatakan sejak kebelakangan susulan dakwaan beberapa pelakon mengenai wujudnya budaya ‘buli-membuli’ dalam kalangan pelakon senior dan junior.
Menambahkan lagi darjah kepanasan isu buli apabila semakin ramai selebriti tampil memberi kenyataan dan pendapat masing-masing.
Kemuncaknya Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyarankan artis yang pernah menjadi mangsa buli atau dianiaya dalam industri seni tempatan agar membuat laporan polis bagi tujuan keselamatan.
Ironinya, isu buli dalam kalangan selebriti tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di Hollywood apabila beberapa pelakon mendakwa mereka menjadi mangsa buli perbuatan individu terkenal.
Kim Cattrall, Sarah Jessica Parker bertegang urat
Dedah aktres Kim Cattrall dia menjadi mangsa buli di set penggambaran drama popular Sex and The City gara-gara tidak bersetuju untuk berlakon dalam sekuel ketiga adaptasi siri tersebut.
Keadaan bertambah parah apabila Sarah Jessica Parker memberi ucapan takziah secara terbuka atas kematian abang Cattrall.
“Sikap kamu sangat menyakitkan mengingatkan betapa kejamnya kamu dahulu dan kini. Saya ingin tegaskan di sini, kamu bukanlah keluarga dan bukanlah rakan saya. Saya menulis ini buat kali terakhir berhenti mengeksploitasi tragedi yang berlaku dalam kehidupan saya untuk mengekalkan pesona dan imej ‘nice girl’,” tulis Cattrall.
Lea Michele buli Samantha Ware
Aktres Samantha Ware mendakwa dibuli pelakon gandingannya dalam siri popular Glee, Lea Michele dengan cara mewujudkan persekitaran toksik di set penggambaran.
Menurut Samantha, Lea Michele telah membuatkan kehidupannya seperti neraka, malah turut mengugut untuk merosakkan rambut palsu yang digunakan Samantha. Kesan daripada pengakuan Samantha, nama Lea Michele telah digugurkan daripada beberapa projek.
“Ingat apabila kamu buat pengalaman lakonan pertama saya di televisyen seperti neraka. Sebab saya tidak pernah lupa! Saya percaya kamu beritahu semua orang jika ada ada peluang kami mahu kencing di atas rambut palsu saya,” tulis Samantha di Twitter.
Courtney Stodden tuduh Chrissy Teigen pembuli
Model dan penyanyi, Courtney Stodden mendakwa pernah menjadi mangsa buli kepada model dan personaliti televisyen terkenal, Chrissy Teigen ketika zaman remaja.
Kata Stodden, Teigen telah menghantar mesej kepadanya dan menyarankannya membunuh diri apabila dia yang ketika itu berusia 16 tahun berkahwin dengan pelakon Doug Hutchison yang berusia 50 tahun.
“Antara mesej yang dihantar, saya tidak sabar menunggu kamu untuk mati,” ujar Stodden.
Teigen bagaimanapun telah memohon maaf atas perbuatannya, bagaimanapun pengakuan itu telah merosakkan imej serta kariernya. Dia bukan sahaja menerima kecaman tetapi lebih ramai mangsa tampil memberi kenyataan terhadapnya.
Isu perkauman Chevy, Donald Glover
Meskipun keserasian dua pelawak, Chevy Chase dan Donald Glover dalam sitkom Community kelihatan seperti tidak dapat dipisahkan, sebaliknya di belakang tabir hubungan mereka cukup tegang. Kata Glover, Chase membuat kenyataan yang tidak sensitif dan berbaur perkauman terhadapnya.
“Orang rasa kamu kelakar kerana kamu berkulit hitam,” kata Glover merujuk kepada kenyataan yang pernah dibuat Chase.
Difahamkan sikap Chase itu terjadi disebabkan rasa cemburu dengan perhatian yang diterima Glover.
Lucy Liu dihina Bill Murray
Bintang filem terkenal Hollywood, Lucy Liu mendakwa pernah dihina dengan kata-kata kesat oleh aktor Bill Murray ketika berlakon dalam filem Charlie’s Angels.
“Ketika kami berlakon, Bill mula mengeluarkan perkataan yang menghina dan saya tidak akan cerita secara terperinci. Tetapi dia masih teruskan dan saya terkejut kerana saya menjadi sasaran penghinaannya. Kata-kata yang dilontarkan memang tidak boleh diterima. Saya mempertahankan diri dan tidak menyesal melakukannya,” kongsi Lucy Liu ketika ditemu bual oleh Los Angeles Times.
Sungguhpun begitu hubungan mereka kembali pulih apabila bertembung dalam program Saturday Night Live.