KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini mendapati tindakan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan satu kesalahan pecah amanah.
Selain itu, mahkamah turut berpendapat Seterusnya tindakan tertuduh menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan, tanpa disimpan di suatu tempat yang selamat di pejabat Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) juga menimbulkan satu inferens niat jahat (bad faith).
Pada masa sama, pembelaan bahawa Syed Saddiq menggunakan wang sendiri untuk perbelanjaan kempen Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) tidak boleh diterima kerana keterangan itu tidak disokong oleh saksi-saksi lain.
Dakwaan Syed Saddiq bahawa wang itu adalah untuk menggantikan perbelanjaan kempen pilihan raya telah dinafikan oleh saksi pendakwaan kerana tertuduh tidak pernah menunjukkan apa-apa resit perbelanjaan atau memaklumkannya berkenaan tujuan kegunaan wang itu.
Mahkamah turut berpendirian, dakwaan tertuduh bahwa segala butiran perbelanjaan kempen pilihan raya boleh dirujuk kepada individu bernama Mohamed Amshar Aziz sebagai tidak berasas kerana perkara itu dinafikan oleh penama berkenaan.
“Penyata-penyata bank yang dikemukakan tidak menunjukkan sebarang pengeluaran yang boleh dikatakan sebagai perbelanjaan bagi kempen pilihan raya,” demikian menurut alasan penghakiman oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid yang diperoleh oleh pihak media melalui laman web mahkamah hari ini.
Penghakiman lanjut turut menyatakan pembelaan Syed Saddiq, 31, yang menyatakan beliau tidak mengetahui transaksi pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) turut ditolak mahkamah.
“Mahkamah ini berpendapat bahawa adalah tidak munasabah seorang pemimpin sayap parti politik tidak mengetahui pengeluaran wang yang banyak daripada akaun sayap parti.
Penafian tertuduh bahawa beliau mempunyai pengetahuan tentang penyimpanan dan kegunaan wang tersebut merupakan sesuatu yang sukar diterima akal,” demikian alasan penghakiman itu lagi.
Terdahulu Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan tersebut.
Hakim Azhar menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.
Jika gagal membayar denda,Syed Saddiq, 30, boleh dipenjara empat tahun.
Bagaimanapun ada 9 November 2023, Hakim Azhar membenarkan Syed Saddiq bekas menangguhkan pelaksanaan semua hukuman manakala syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. – KOSMO! ONLINE