SEREMBAN – Seorang guru madrasah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua lagi pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua pelajar pada 2023 dan Februari lalu.
Tertuduh, Muhammad Ilyaas Jamaludin, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut dua pertuduhan itu, tertuduh telah melakukan amang seksual masing-masing terhadap dua kanak-kanak berusia 12 tahun di sebuah madrasah di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng, Nilai pada awal hingga akhir 2023 serta pada pada awal hingga akhir Februari lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noraziha Asmuni menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan. – KOSMO! ONLINE