PERASAAN takut ketika bersaing bersebelahan dengan pelumba lain dalam setiap perlumbaan sedikit sebanyak mengganggu rentak kayuhan bintang berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri.
Perkara itu diakui sendiri jurulatih skuad berbasikal trek negara, Harnizam Basri yang terus membantu atlet berusia 21 tahun tersebut untuk mengatasi rasa takut semasa bersaing dengan pelumba lain dalam perlumbaan berintensiti tinggi.
Beliau percaya, rasa takut itu akan beransur hilang dengan pengalaman Izzah dalam setiap perlumbaan disertai selain bantuan diberikan barisan kejurulatihan skuad berbasikal trek kebangsaan.
Berdasarkan keistimewaan dimiliki atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, Harnizam menganggap Izzah lebih berbeza jika dibandingkan dengan pelumba terdahulu, Fatehah Mustapa.
“Program khas untuk Izzah adalah kita meletakkan fokus kepadanya dalam keirin. Sekarang mungkin dia ada takut sedikit, terutamanya apabila perlumbaan laju dan perlu bersaing ‘side by side’ dengan pelumba-pelumba lain.
“Apabila situasi perlumbaan menjadi seperti itu, dia akan undur ke belakang sedikit. Mungkin ia disebabkan dia banyak berkayuh dalam acara-acara individu, apabila perlumbaan laju akan rasa takut sedikit.
“Bagi menghilangkan rasa takut itu, sudah tentu perlu berlumba lebih banyak bagi menimba pengalaman. Dengan cara itu, dia boleh berkembang dengan lebih baik kerana Izzah adalah pelumba yang sangat berbakat,” katanya.
Harnizam juga berpendapat anak buahnya itu sudah menepati kriteria untuk berada dalam senarai fast track Road to Gold (RTG) kerana berada di kedudukan ketujuh pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia bulan lalu.
Sebagai rekod, Izzah menamatkan keirin wanita di tempat ketujuh kejohanan tersebut selepas mengetepikan cabaran sengit pelumba China, Wang Lijuan pada penentuan tempat ketujuh hingga 12.