SHAH ALAM – Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin memfailkan saman RM10 juta terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) atas dakwaan memfitnah dalam satu sidang media pada Ogos lalu.
Mohd. Asri yang turut dikenali sebagai Dr. Maza selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu di Mahkamah Tinggi sini pada 1 Oktober lalu menerusi Tetuan Faizal Rahman & Co. dengan menamakan GISBH dan seorang individu yang merupakan pegawai kanan syarikat itu, Mokhtar Tajuddin masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh media hari ini, Mohd. Asri mendakwa defendan pertama (GISBH) telah menerbitkan pernyataan fitnah melalui satu hantaran yang dibuat di akaun Facebook rasmi defendan pertama pada atas nama ‘GISB Holdings Sdn Bhd’ pada 28 Ogos lalu beserta sebuah poster jemputan sidang media untuk tontonan umum.
Antara ayat di dalam poster itu ialah, ‘Sesi media ini bertujuan menjawab isu tohmahan, fitnah adu domba dan persepsi buruk oleh individu berniat jahat dan tidal bertanggungjawab yang sedang berkeliaran di beberapa media sosial MAZA dan beberapa yang lain’.
Selain itu, Mohd. Asri juga mendakwa defendan pertama juga telah memfitnahnya dengan menghantar satu notis tuntutan bertarikh 24 Ogos lepas terhadap plaintif menuntut beliau mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari bagi membersihkan nama GISBH.
Dakwa Mohd. Asri, notis tuntutan itu antaranya membawa maksud beliau telah menuduh defendan pertama tanpa usul periksa dan membuat dakwaan palsu terhadap GISBH.
Menurut plaintif, defendan-defendan telah menerbitkan hantaran-hantaran fitnah itu dengan niat untuk menimbulkan persepsi negatif masyarakat umum terhadap plaintif selain mendakwa hantaran fitnah itu adalah tidak benar.
Mohd. Asri berkata hantaran-hantaran fitnah tersebut telah mengaibkan, menjatuhkan maruah dan imej beliau sebagai seorang mufti, ahli akademik dan pendakwah di Malaysia.
Justeru plaintif memohon defendan-defendan membayar ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan sebanyak RM10 juta, ganti rugi am, kos, faedah serta memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Plaintif juga memohon supaya defendan membuat draf permohonan maaf kepadanya dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman dan menerbitkan draf terbabit antaranya dalam akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, Berita Harian, News Straits Times dan Facebook defendan secara bertulis selama 30 hari.
Turut di mohon agar defendan memadam pernyataan-pernyataan fitnah itu dari semua laman sesawang dan media sosial termasuk Facebook, Twitter, Blogspot, TikTok dan Instagram di bawah kawalan defendan.
Mohd. Asri juga memohon agar defendan sama ada melalui pekerja atau ejennya dihalang daripada mengeluarkan secara langsung atau tidak langsung pernyataan-pernyataan fitnah itu di semua laman sesawang dan semua media sosial berkenaan.
Sebelum ini, Mohd. Asri telah memfailkan saman terhadap seorang pengguna laman Facebook dengan jumlah sama kerana mengaitkannya dengan GISBH. – KOSMO! ONLINE