SETIU – Hasrat seorang lelaki ke surau untuk menunaikan solat subuh tidak kesampaian apabila dia terhumban ke dalam longkang selepas motosikal dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Kampung Gong Kepas Dalam di sini, hari ini.
Mangsa, Mohd. Syafiq Mohd. Nasir @ Mazlan, 36, meninggal dunia dalam kemalangan pada pukul 6.15 pagi itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md. Sani Md Saleh berkata, sewaktu kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Surau Alor Jernih, Kampung Gong Kepas Dalam, di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Ego LC dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan.
“Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa (Mohd. Syafiq) tercampak memasuki longkang berhampiran yang dipenuhi air hujan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Md. Sani berkata, mayat Mohd. Syafiq ditemui penduduk kampung di dalam longkang berkenaam pada pukul 7.50 pagi dan kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE