ALOR SETAR – Kejadian banjir di Kedah semakin memburuk apabila Kota Setar menjadi daerah kelima dilanda banjir dengan seramai 735 mangsa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pagi ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) negeri, jumlah keseluruhan mangsa yang berlindung di 34 PPS di lima daerah iaitu Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Sik dan Kota Setar adalah seramai 4,378 orang.
“Daerah paling teruk terjejas adalah Kubang Pasu seramai 1,708 orang, Padang Terap (1,145), Kota Setar (735), Pokok Sena (429) dan Sik (361),” katanya.
Sementara itu, lima sungai yang mencatatkan paras bahaya adalah Sungai Anak Bukit di Taman Aman dalam daerah Kota Setar; Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang dalam daerah Pendang; Sungai Padang Terap di Kepala Batas dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir dalam daerah Kubang Pasu serta Sungai Perik dalam daerah Padang Terap. – KOSMO! ONLINE