JAKARTA – Sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban, manakala tujuh yang lain masih hilang selepas tanah runtuh dan banjir kilat melanda wilayah Sumatera Utara, lapor portal berita Social News XYZ semalam.
“Anggota-anggota menyelamat telah memindahkan tujuh mayat dan kami masih mencari mangsa lain,” kata Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) peringkat wilayah, Mustari semalam.
Beliau menambah, lebih 10 orang mengalami kecederaan semasa tanah runtuh berlaku.
Menurut ketua BNPB, Tuahta Ramajaya Saragih, bencana alam tersebut bermula malam Selasa lalu melibatkan beberapa lokasi di jalan utama yang menghubungkan ibu kota wilayah Medan dan pusat peranginan, Berastagi.
“Hujan lebat sejak Selasa lepas mencetuskan kejadian tanah runtuh berskala kecil, mengakibatkan beberapa kenderaan termasuk kereta, bas dan trak yang melalui jalan itu tertimbus.
“Laporan menunjukkan bahawa antara tujuh hingga 11 orang masih hilang, berkemungkinan terperangkap di dalam bas penumpang.
“Jentera berat telah dikerahkan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat,” tambah Tuahta.
Beliau turut mencadangkan supaya Agensi Meteorologi dan Geofizik mempertimbangkan teknik pengubahsuaian cuaca bagi mengurangkan intensiti hujan di wilayah itu.
Dalam pada itu, Ketua Unit Operasi Pejabat Mencari dan Menyelamat, Kamellia berkata, pasukan penyelamat sedang berusaha untuk mencari mangsa hilang meskipun berdepan hujan lebat berterusan dan risiko tanah runtuh berlaku lagi. – AGENSI