SEREMBAN – Sebanyak 509 kes penderaan dan penganiayaan kanak-kanak direkodkan di Negeri Sembilan sehingga Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Rosnah Sardi berkata, statistik berkenaan menunjukkan peningkatan ketara kes berbanding sepanjang tahun lalu yang merekodkan sekitar 403 kes.
Menurutnya, kebanyakkan kes membabitkan golongan berusia empat hingga 15 tahun, dengan mangsa remaja kebanyakkannya membabitkan kes salah laku atau penderaan seksual.
“Kita lihat faktor utama adalah kehidupan, khususnya dari segi ekonomi. Kemiskinan keluarga menyebabkan ibu bapa tidak dapat menjaga anak mereka dengan baik.
“Mereka terpaksa keluar bekerja menyebabkan anak-anak ini terabai. Kedua adalah ketidaklayakan ibu bapa, ada yang terlibat dadah, pelacuran dan mungkin dipenjarakan atas kesalahan (tertentu),” katanya ketika hadir di Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Negeri Sembilan di Sikamat, di sini, semalam.
Atas faktor itu katanya, kanak-kanak tersebut perlu diselamatkan selain disebabkan masalah mental yang membuatkan ibu bapa atau penjaga golongan itu cenderung hilang pertimbangan lalu mencederakan mereka. – KOSMO! ONLINE