fbpx

Tiga lelaki ditahan, dadah RM4.3 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saiful Azly (tiga dari kanan) menunjukkan kesemua dadah yang dirampas di Kepong, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor pada 8 dan 9 Januari lalu.

KUALA LUMPUR – Tiga orang ahli sindiket pengedaran dadah ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM4.3 juta dalam dua tangkapan berbeza pada 8 dan 9 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datul Saiful Azly Kamaruddin berkata, ketiga-tiga lelaki warga tempatan itu ditahan dalam dua serbuan oleh sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul di Jalan Metro Perdana, Barat 7, Kepong, Kuala Lumpur dan Jalan Indah, Seri Kembangan, Selangor.

“Bertindak atas maklumat pada 8 Januari 2021, lebih kurang pukul 4.30 petang pasukan polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Kepong. Hasil pemeriksaan polis berjaya merampas 1,030 gram Methamphetamine, 1,155 biji pil eramin 5 dan 192 gram ekstasi.

“Selain itu, polis turut berjaya merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dan wang tunai RM400,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Menurutnya, hasil soal siasat yang dijalankan, pada 9 Januari, pihak polis telah menahan dua orang lagi lelaki warga tempatan berusia 20 tahun di Seri Kembangan, Selangor.

“Turut dirampas wang tunai RM106,166 dan pada hari sama kira-kira pukul 8 malam, pasukan serbuan telah pergi ke sebuah Residensi di Seri Kembangan, Selangor.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, pihak polis telah berjaya menjumpai beberapa jenis dadah yang terdiri daripada 680 gram Methamphetamine, 158,500 biji pil Eramin 5, 3,710 gram Ekstasi, 21,210 gram serbuk MDMA, 12,500 cecair MDMA, 100 batang rokok ganja, dan 8,920 gram ketamin,” jelasnya.

Katanya, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Estima dan wang tunai RM53,800.

Saiful Azly berkata, ketiga-tiga suspek bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar kawasan Lembah Klang sejak dua bulan yang lalu.

“Hasil ujian urin, ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

“Dengan tangkapan ini, pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan,” ujarnya.

Menurutnya, kesemua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari bermula 9 Januari hingga 15 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI