fbpx

Makin kritikal, mangsa banjir 7 negeri lebih 75,000 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Jumlah penduduk terjejas akibat banjir yang melanda tujuh negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Perak dan Selangor terus meningkat kepada 75,850 mangsa daripada 23,442 keluarga setakat pukul 9.15 pagi tadi.

Ketika ini, sebanyak 507 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negara.

Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan kekal sebagai negeri tertinggi merekodkan jumlah mangsa banjir seramai 59,741 orang membabitkan 18,838 keluarga di 225 PPS sekitar 10 daerah.

Sementara itu, di Terengganu, seramai 12,377 mangsa banjir membabitkan 3,459 keluarga sedang berlindung di 233 PPS yang beroperasi di lapan daerah, manakala di Kedah, 32 PPS dibuka di lima daerah yang menempatkan 2,264 mangsa banjir daripada 787 keluarga.

Di Negeri Sembilan pula, 849 mangsa membabitkan 290 keluarga di dua daerah kini ditempatkan di sembilan PPS.

Empat PPS dibuka di Perlis dengan seramai 397 mangsa daripada 118 keluarga di tiga daerah.

Selain itu, dua PPS dibuka di Perak dan Selangor masing-masing melibatkan 61 mangsa daripada 20 keluarga dan 161 mangsa (40 keluarga).

Daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir, seramai 24,726 orang bersamaan 32.6 peratus adalah lelaki dewasa, manakala 26,507 orang (34.95 peratus) perempuan dewasa diikuti kanak-kanak lelaki seramai 11,472 orang (15.12 peratus), kanak-kanak perempuan 11,027 orang (14.54 peratus), bayi lelaki 1,136 orang (1.5 peratus) dan bayi perempuan membabitkan 982 orang (1.29 peratus).

Seterusnya, seramai 2,666 mangsa (3.56 peratus) merupakan kategori warga emas lelaki, 3,097 mangsa (4.08 peratus) warga emas perempuan, 1,296 mangsa (1.71 peratus) orang kurang upaya (OKU) lelaki dan 752 orang (0.99 peratus) OKU perempuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI