PETALING JAYA – Terbuka berkongsi mengenai pendapatan wakil rakyat, penyanyi Altimet mendedahkan gaji bulanan diperoleh termasuk elaun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya mencecah sebanyak RM16,000.
Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 46, berkata, Selangor merupakan antara negeri yang memberikan pendapatan tertinggi kepada wakil rakyat.
“Di Selangor, kalau campur gaji kasar, elaun dan sebagainya boleh dapat bersih RM16,000.
“Tak salah sayalah, di Malaysia kalau untuk ‘top 3’ gaji di peringkat negeri, Adun Selangor antara yang tertinggi,” katanya ketika dijemput ke sesi sembang audio siar, Dol’s Podcast.
Dalam program siaran YouTube kendalian Shuib, Shuk Sahar dan Fizie itu, kongsinya selain elaun tambahan Adun juga boleh memohon pinjaman peribadi.
Begitupun, menurut penyanyi Amboi yang bergelar Yang Berhormat atau YB sejak tahun lalu, elaun diterimanya diperuntukkan bagi membayar gaji pemandu peribadi.
Akuinya, pemandu peribadi merupakan keperluan bagi setiap wakil rakyat bagi melancarkan urusan kerja terutama ‘turun padang’ bertemu masyarakat setempat.
“Macam kakitangan kerajaan yang lain, kami juga layak mendapatkan kemudahan membuat pinjaman bagi membeli rumah dan kereta.
“Sebahagian daripada elaun yang kami terima ada peruntukan untuk pemandu peribadi dan itu (pemandu) wajib digunakan.
“Elaun itu disediakan untuk memudahkan kerja dan jangan sampai tiada pemandu, kalau tak bos akan tanya nanti,” ujarnya.
Terdahulu, Altimet memenangi kerusi Dun Lembah Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 menewaskan Sharifah Haslizah Syed Ariffin dari Perikatan Nasional (PN).
Kemenangan terbabit turut meletakkan Altimet sebagai selebriti kedua bergelar wakil rakyat selepas pelakon, Datuk Dira Abu Zahar yang kini Adun Rim, Melaka. – KOSMO! ONLINE