GUA MUSANG – Seorang warga emas di Kampung Limau Kasturi di sini sudah lali apabila menempuh pengalaman lebih 30 kali berdepan bencana banjir sepanjang hidupnya.
Azizah Othman, 60, berkata, pengalaman terburuk baginya adalah ketika bah kuning pada 2014 yang turut menenggelamkan seluruh rumah.
Katanya, hampir setiap tahun rumahnya akan tenggelam banjir jika hujan turun secara berterusan.
“Keluarga saya yang tinggal berhampiran Sungai Galas kerugian RM10,000 setiap kali banjir.
“Saya sudah lali dengan banjir kerana kawasan kampung terletak di kawasan rendah dan berhampiran Sungai Galas,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa banjir, Rahmah Jaafar, 66, pula berkata, penduduk di kawasan pinggir Sungai Galas sudah biasa menghadapi banjir setiap tahun.
Katanya, hujan selama tiga hari sejak Selasa lalu menyebabkan dia terpaksa berpindah ke PPS SK Limau Kasturi kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Saya bersama enam ahli keluarga lain diselamatkan oleh anggota bomba dengan bot apabila rumah yang terletak 800 meter dari jalan besar telah terkepung oleh banjir,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.