PETALING JAYA – Pasukan Selangor dibawah kendalian pengendali baharu, Katsuhito Kinoshi memulakan kariernya dengan langkah sumbang selepas Gergasi Merah tewas 1-2 kepada Muangthong United dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), skuad Gergasi Merah bermula garang apabila pemain pertahanan, Quentin Cheng merembat gol menarik seawal minit kelima.
Tersentak dengan gol tersebut, kelab Thailand itu memperkemaskan jentera serangan dan berjaya melakukan percubaan menerusi Felicio Forbes tetapi mudah diselamatkan penjaga gol, Azim Al-Amin.
Bersambung babak kedua, tuah mula memihak kepada Forbes yang terus menjadi duri dalam daging buat Selangor apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-54.
Ketumpulan jentera serangan Gergasi Merah menyaksikan Muangthong bangkit mendahului saingan dengan gol kedua berjaya dijaringkan oleh Poramet Arjvillai.
Keputusan kekal sehingga wisel penamat sekali gus menyaksikan skuad Merah Kuning menempah laluan berliku dalam usaha untuk layak ke peringkat kalah mati ACL2 kali ini.
Selangor FC wajib menewaskan Cebu FC selain mengharapkan Muangthong tidak meraih mata penuh ketika perlawanan terakhir Kumpulan H pada 5 Disember depan. – KOSMO! ONLINE