PETALING JAYA – Dua sungai di Selangor merekodkan bacaan melepasi paras amaran ekoran hujan lebat sejak petang tadi.
Menerusi portal info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, setakat pukul 6.15 petang, kedua-dua sungai menujukkan trend meningkat.
Sungai Binjai di Pekan Meru, Klang mencatatkan bacaan 4.17 meter (m) berbanding paras normal 2.8 m manakala Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam merekodkan bacaan 2.07 m berbanding paras normal 1 m.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat melibatkan tujuh negeri sehingga malam ini.
MetMalaysia dalam laporannya berkata, cuaca buruk itu melibatkan keseluruhan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Melaka.
Selain itu, di Perak membabitkan Batang Padang dan Muallim manakala Negeri Sembilan meliputi Seremban, Port Dickson, Rembau dan Tampin.
Bagi Johor pula, hujan lebat dijangka tertumpu di Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru sementara di Sarawak melibatkan Bintulu Miri dan Limbang. – KOSMO! ONLINE.