SEBERANG PERAI – Kemahiran usahawan di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) ditingkatkan menerusi penguasaan platform teknologi digital sebagai salah satu usaha untuk merancakkan perniagaan mereka.
Pengerusi Perda, Datuk Shaik Hussein Mydin berkata, langkah itu seiring bagi memastikan kemahiran teknologi digital dapat ditingkatkan termasuklah dari segi penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan usahawan.
“AI dilihat sebagai masa depan susulan landskap teknologi yang berkembang pesat. Ia membolehkan usahawan berniaga secara online tanpa perlu memiliki pejabat ataupun kilang, namun masih berpeluang menjana pulangan besar sama seperti peniaga yang memiliki kelengkapan serta peralatan lengkap.
“Oleh itu, kita mahu melatih usahawan bermula dari sekarang supaya masing-masing dapat bersedia dengan perubahan yang bakal berlaku dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Himpunan Keusahawanan (Hike) Perda 2024 di Bertam Resort di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut mengambil inisiatif baharu dengan melancarkan program yang akan bermula pada Januari depan, iaitu Perda TikTok Star (PTS).
“Menerusi program ini, usahawan akan mendapat peluang untuk mempromosikan perniagaan mereka di TikTok Perda selain turut diberi ruang untuk mencipta kandungan sendiri.
“Program ini akan berjalan sepanjang 2025 dan pada hujung tahun, kita akan bagi anugerah kepada usahawan yang beroleh paling banyak tontonan, keuntungan dan sebagainya,” katanya.
Setakat ini, seramai 1,247 usahawan telah mendapat manfaat melalui inisiatif Perda tahun ini dan angka tersebut dijangka meningkat tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE