KOTA BHARU – Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 47,218 orang hari ini susulan hujan berterusan sejak tiga hari lalu.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, setakat pukul 6 petang tadi, Gua Musang merupakan daerah terakhir yang terjejas banjir apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) pertama dibuka.
Menurutnya, pembukaan PPS di Gua Musang yang menempatkan 41 mangsa itu sekali gus menyaksikan semua daerah di Kelantan dilanda banjir.
“Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dengan 16,765 orang, Tumpat (6,967), Kota Bharu (4,523), Pasir Puteh (4,433), Kuala Krai (4,176), Tanah Merah (4,007), Machang (3,545), Bachok (2,362) dan Jeli (724).
“Kesemua mangsa terdiri daripada 14,494 keluarga yang ditempatkan di 202 buah PPS,” katanya.
Sementara itu, Sekreteriat Angkatan Pertahanan Awam Kelantan dalam satu kenyataan berkata, tujuh sungai utama iaitu Sungai Lebir, Tualang di Kuala Krai, Sungai Kelantan (Tangga Krai dan Tambatan Diraja), Sungai Golok (Jenob, Rantau Panjang dan Kuala Jambu) dan Sungai Semerak (Pasir Puteh) berada pada paras bahaya.
Menurutnya, hanya Sungai Galas di Dabong mencatatkan bacaan amaran. – KOSMO! ONLINE.