BESUT – Lelaki warga emas yang ditemukan lemas ketika memukat ikan di kawasan sawah di Kampung Pinang di sini hari ini disahkan sebagai korban banjir pertama Terengganu pada tahun ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, mangsa, Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, telah lemas akibat terjatuh di kawasan sawah yang ditenggelami banjir.
“Mangsa dipercayai keluar memukat ikan di kawasan sawah itu bersama tiga rakannya sebelum dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa telah ditemui di dasar sawah yang ditenggelami banjir sedalam kira-kira tiga meter pada pukul 10.10 pagi,” katanya ketika ditemui sewaktu meninjau situasi banjir di Kampung Padang Luas di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mohd. Khairi menasihatkan orang ramai agar menghindari kawasan ditenggelami banjir sepanjang musim tengkujuh ini.
Jelas beliau, kawasan berkenaan amat berisiko kerana kadar kedalaman air yang menenggelaminya sukar dijangka.
“Selain itu, penduduk yang menetap di kawasan rendah juga dinasihatkan agar segera berpindah ke pusat pemindahan telah diwartakan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Khairi memberitahu setakat ini, Balai Polis Kuala Jengal, Hulu Dungun dan Pondok Polis Tenang, Hulu Besut telah ditenggelami banjir sedalam 0.3 meter.
Bagaimanapun, beliau berkata, persiapan awal telah dibuat dengan memindahkan kelengkapan penugasan kedua-dua premis itu ke tempat selamat bagi membolehkan operasi berjalan seperti biasa. – KOSMO! ONLINE.