KUALA LUMPUR – YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL Communications) dalam senarai paling corot menyiapkan projek menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, syarikat berkenaan menerima sebanyak 51 menara Jendela fasa satu dan semuanya masih belum beroperasi.
“YTL Communications paling corot. Minta maaf saya terpaksa sebut di sini. Saya sudah minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menelitinya,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas-Kuala Kangsar) berhubung status pelaksanaan projek menara telekomunikasi di bawah Jendela.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, bagi menara-menara yang menghadapi kelewatan, tindakan tegas akan dikenakan ke atas kontraktor terlibat.
Katanya, antara penalti boleh dikenakan adalah ‘liquidated damages’, mengambil Performance Bond, penolakan tuntutan dan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)
Ujar beliau, pada masa ini, tindakan yang sedang dipertimbangkan adalah untuk mengenakan ‘liquidated damages’ kepada pihak terlibat.
“MCMC sedang mendapatkan maklumat dan bukti-bukti ketidakpatuhan bagi membolehkan tindakan diambil ke atas kontraktor yang gagal menyiapkan menara dalam tempoh ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, Fahmi berkata, sehingga Oktober lalu, sebanyak 1,385 daripada 1661 menara Jendela berjaya disiapkan dan daripada jumlah itu hanya 808 menara sudah beroperasi. – KOSMO! ONLINE.