TAIPING – Pesawah di seluruh negara digesa untuk mencarum Skim Takaful Tanaman Padi bagi membolehkan mereka mendapat pampasan sekiranya tanaman masing-masing musnah sekiranya berlaku bencana seperti banjir dan kemarau.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan telah memulakan pendekatan baharu Skim Takaful Tanaman Padi secara percuma selama dua musim bernilai RM50 juta yang telah diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.
“Pesawah diminta untuk segera mendaftar dimana-mana Bank Pertanian atau datang ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi membolehkan mereka mendapat pampasan sekiranya berlaku bencana.
“Apabila masuk musim tengkujuh, tanaman padi akan terdedah kepada banjir dan ini bukan hanya memberi kesan kepada pesawah tetapi juga kepada makanan ruji negara,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan Program Kerjasama antara PPK Batu Kurau dan Pusat Koreksional Kamunting di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE