SUNGAI BULOH – Glomac Berhad (Glomac) memperkenalkan projek perumahan baharu, Serai@Sungai Buloh Country Resort (SBCR) yang sudah dibuka untuk jualan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Glomac, Zulkifly Garib, Serai@SBCR melibatkan empat fasa pembinaan yang terletak di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh.
“Projek perumahan ini secara keseluruhannya menawarkan 374 unit dengan keluasan 64 ekar. Serai@SBCR menawarkan jenis perumahan teres dua tingkat dan dua plot komersial.
“Kini, kami membuka jualan untuk fasa 1 (Serai 1) dengan keluasan keseluruhan 10 ekar dan 112 unit,” katanya kepada pemberita pada sesi taklimat memperkenalkan projek perumahan baharu Serai@SBCR di sini, hari ini.
Jelasnya, Serai 1 dijual bermula RM654,220 hingga RM911,430 dan dijangka siap pada pertengahan 2027.
Mengulas lanjut mengenai Serai@SBCR, Zulkifly berkata, projek perumahan itu terletak di perbandaran yang matang dengan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti sekolah, balai Polis, masjid, bank, kedai makan, stesen minyak, pasar raya dan hospital.
“Antara kemudahan yang disediakan di Serai@SBCR ialah surau, dewan komuniti, tadika, gelanggang serbaguna, trek jogging dan basikal, taman permainan serta halaman terbuka untuk berkelah.
“Selain dikelilingi dengan kehijauan dan kepadatan yang rendah, Serai@SBCR juga berdekatan dengan rangkaian lebuh raya untuk ke pusat bandar seperti melalui Lebuh Raya Guthrie, Persiaran Mokhtar Dahari, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar), Lebuh Raya Lembah Klang Utara (NKVE), Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) dan Persiaran Shorea,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE