PETALING JAYA – Gara-gara berhijab di tempat orang, pelakon Sabrina Azhar berkongsikan detik hitam yang dilalui rakannya saat berdepan dengan layanan buruk di Korea Selatan.
Kongsi Sabrina, 24, kejadian itu berlaku sewaktu rakannya itu sedang berbasikal berhampiran kawasan Sungai Han, Seoul sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali.
Malang tidak berbau apabila lelaki itu tiba-tiba melontarkan kata-kata kesat dan menarik tudungnya rakannya itu.
“Kawan saya memang gemar berbasikal di kawasan Sungai Han. Hendak dijadikan cerita apabila satu hari ada seorang pak cik datang ke arahnya dan memaki hanum.
“Pak cik itu suruh kawan saya pulang ke negara asal dan menarik tudungnya. Disebabkan terkejut, kawan saya kaku dan terdiam.
“Dia tidak tahu hendak buat apa pada waktu itu dan berasa trauma. Walaupun saya tiada di tempat kejadian, tetapi saya sangat bersimpati kepada dia,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sabrina yang juga bekas pelajar di sebuah universiti di Korea Selatan bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana tidak pernah berhadapan dengan situasi rasis sebegitu.
Namun, dia tidak menafikan penduduk tempatan akan lebih menjadi mudah mesra kepada pelancong asing yang fasih bertutur bahasa mereka.
“Alhamdulillah saya tidak pernah berdepan dengan situasi rasis walaupun berhijab. Paling tidak pun sewaktu saya ingin membeli barang di pasar, saya menerima pandangan serong daripada peniaga di situ,
“Kemudian selepas saya bertutur dalam bahasa Korea, mereka menjadi sangat ramah. Bukan saya hendak mempertahankan mereka, tetapi penduduk tempatan akan menjadi mudah mesra sekiranya mereka senang berkomunikasi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sabrina bakal membintangi drama berjudul Rahsiamu Selamat Denganku yang bakal bersiaran di saluran Astro Ria bermula 9 Disember ini.
Kata Sabrina, dia teruja diberi peluang berlakon dalam drama televisyen di Malaysia dan berkongsi perbezaan sewaktu melibatkan diri dalam penggambaran web drama di Korea Selatan.
“Perbezaan berlakon di negara sendiri, saya lebih rasa selesa kerana jika di Korea kadangkala membuatkan saya sendiri rasa terasing. Di Korea saya hanya berlakon web drama dan di sini (Malaysia) saya berpeluang berlakon drama televisyen.
“Saya terbuka untuk menerima sebarang tawaran berlakon di sini namun buat masa ini saya memang berulang-alik dari Korea ke Kuala Lumpur,” ujarnya.
Selain Sabrina, drama Rahsiamu Selamat Denganku turut dibintangi Alvn (Alvin Chong), Azri Safix, Meena, Faranadiah, Adriana Adnan, Nik Rifaiel dan Fadlan Hazim. – KOSMO! ONLINE