KUALA SELANGOR – Lapan nelayan warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menceroboh perairan negara dan menggunakan bubu naga untuk menangkap ikan, Julai lalu.
Kesemua tertuduh iaitu U. Thay, 39, Maung Maung Soe, 37, Maung Myint Than, 34, San Win, 32, Sin Hla Thein, 41, Zaw Myint Oo, 36, Aung Naing Kyaw, 31 dan Tun Hlaing, 26 membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Myanmar di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Mengikut pertuduhan pertama, semua tertuduh didakwa menggunakan empat vesel penangkapan ikan asing tanpa nombor untuk menceroboh perairan negara.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menangkap ikan dengan bubu naga yang dilarang oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira 1.9 batu nautika dari Bagan Sungai Burong, Sungai Besar, pukul 9.35 pagi, 31 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Muhammad Hafiz Mohd. Amin dan Herlina Abd Ghani manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam dan sebutan semula kes pada 24 Disember depan. – KOSMO! ONLINE