SEBERANG PERAI – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth, di sini hari ini atas 11 pertuduhan berhubung pembekalan emas yang tidak wujud sehingga mangsa kerugian RM165,000 sejak awal tahun ini.
Tertuduh, Rosdi Abd Malek, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.
Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menipu mangsa akan menerima emas fizikal sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM165,000 ke dalam dua akaun bank miliknya yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bandar Putra Bertam dalam daerah Seberang Perai Utara di sini antara 20 Februari hingga 13 Julai lalu dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Husna Ridzuan mewakili tertuduh.
Semasa prosiding, Airina menawarkan jaminan RM4,000 terhadap setiap pertuduhan dihadapi tertuduh.
Bagaimanapun, Husna memohon jaminan minima dikenakan susulan tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai penolong pegawai penyedia makanan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) perlu menyara ibu bapanya dan juga telah mengeluarkan wang RM35,000 miliknya untuk membayar jaminan bagi tiga pertuduhan dihadapinya.
Siti Zulaikha membenarkan tertuduh diikat jamin RM33,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan 23 Januari depan untuk sebutan kes. – KOSMO! ONLINE