KUALA LUMPUR – Perbincangan berhubung penyertaan Malaysia dalam Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) boleh diteruskan jika ada kesepakatan oleh semua pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebuah jawatankuasa pilihan untuk mengadakan perbincangan bersama antara parti boleh diadakan untuk melihat bagaimana isu tersebut boleh dimajukan.
“Saya fikir untuk memikirkan ke depan, boleh saja jawatankuasa pilihan bincang bersama antara parti bagaimana kita boleh majukan isu ini, melihat semula peruntukan-peruntukan Statut Rom dan kalau ada kesepakatan kita oleh teruskan.
“Walaupun saya harus nyatakan bahawa kita ada sedikit kebimbangan melihat kepada suasana dan peruntukan Perlembagaan kita dan pendirian raja-raja Melayu (Majlis Raja-Raja),” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik-PN) sama ada Malaysia boleh menandatangani Konvensyen Genosid bagi membolehkan negara mengambil tindakan lebih tegas ke atas Israel.
Ahmad Tarmizi turut bertanya bagaimana Malaysia boleh secara rasmi bersama dengan Afrika Selatan dalam tindakan terkini terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)
Terdahulu, Anwar menjelaskan, Afrika Selatan sama sekali tidak menghalang Malaysia untuk menyatakan dokongan bersama negara tersebut, tetapi Malaysia tidak berada pada kedudukan yang sama sebab tidak menandatangani Statut Rom.
“Saya beritahu apa juga cara termasuk menghantar wakil dalam sidang ICJ untuk menyatakan pendirian kita walaupun kita tidak boleh kemukakan kerana bukan anggota. Ini kita harus faham ia terikat dengan Statut Rom.
“Setakat ini Malaysia dalam soal Statut Rom dan ICERD yang tidak boleh diterima masyarakat kita terutama dalam mempertahankan hak bumiputera, soal agama dan LGBT dan ini juga telah ditimbulkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.
Menjawab soalan Ahmad Tarmizi yang seterusnya, Anwar memohon maaf kerana tidak berkesempatan hadir Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 2024) pada September lalu untuk menyuarakan isu Palestin.
Menurutnya, beliau tidak mampu menghadiri setiap persidangan antarabangsa, namun Malaysia memiliki Menteri Luar yang cekap untuk melakukannya.
“Jadi saya mohon maaf kerana tidak mungkin menghadiri semua. Lagipun kehadiran Menteri luar sangat cekap dan ucapan itu diterima baik mewakili kerajaan keseluruhan dan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE