GEORGE TOWN – Sebanyak 1.39 juta penumpang antarabangsa telah direkodkan mulai Januari hingga September lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas di sini.
Pengerusi Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, jumlah ketibaan domestik dalam tempoh sama adalah 1.34 juta penumpang.
“LTAPP mempunyai 19 penerbangan terus antarabangsa dan senarai bandar-bandar bagi penerbangan terus tersebut adalah Singapura, Bangkok (Suvarnabhumi International Airport (BKK) dan Don Mueang International Airport (DMK).
“Selain itu, turut dalam senarai penerbangan terus antarabangsa ialah Phuket, Guangzhou, Xiamen, Hong Kong, Medan, Jakarta, Surabaya, Banda Aceh, Taipei, Ho Chi Minh City, Dubai, Shanghai, Shenzhen, Chongqing, Kunming dan Doha,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Zairil (DAP-Tanjong Bungah) menjawab soalan daripada Goh Chong Aik (PKR -Bukit Tambun) mengenai jumlah penumpang domestik dan antarabangsa bagi 2024 dan status penaiktarafan LTAPP oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menurut Zairil, projek pembesaran LTAPP melibatkan pembesaran kapasiti lapangan terbang daripada 6.5 mppa (juta penumpang setahun) kepada 12 mppa apabila siap kelak dengan anggaran kos sebanyak RM1.55 bilion. – KOSMO! ONLINE