fbpx

KPDNHEP Perak lupus barang rampasan bernilai RM1.4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifullizan (dua dari kiri) melakukan gimik pelupusan barang rampasan di Stor Eksibit KPDNHEP Perak di Ipoh hari ini.

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak hari ini melupuskan 23,195 pasang kasut pelbagai jenama tiruan serta cakera padat bernilai RM1.44 juta di Stor Eksibit Perak di sini hari ini.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, pelupusan barang rampasan berkenaan melibatkan 17 kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Timbang dan Sukat 1972 melibatkan tahun 2019 dan 2020.

“Sebanyak 23,195 pasang kasut pelbagai jenama tiruan bernilai RM1.29 juta dilupuskan hari ini bersama cakera padat (CD), cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak selain barang kawalan.

“Semua barangan tersebut telah dirampas melibatkan pelbagai akta di bawah KPDNHEP dan telah menerima arahan pelupusan oleh pengawal dan mahkamah,” katanya pada sidang akhbar di Stor Eksibit KPDNHEP Perak di sini hari ini.

Sementara itu, Saifullizan berkata, pihaknya telah memeriksa 77,886 buah premis sepanjang tahun lalu dan 855 kes terhasil daripada jumlah tersebut melibatkan nilai rampasan RM747,064.89 dengan nilai kompaun RM300,050.

Dalam pada itu, KPDNHEP Perak memberi jaminan barangan keperluan di Perak mencukupi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh kerajaan.

“Setakat ini berdasarkan pemantauan kita, tiada sebarang pembelian panik melibatkan pengguna di Perak dan kita juga tidak menerima aduan melibatkan kenaikan harga barang bermula awal Januari sehingga semalam.

“Pihak pengilang, pemborong dan peruncit juga memberi jaminan keberadaan bekalan barang kawalan dan keperluan asas di negeri ini mencukupi dan mudah diperolehi,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap pengguna tidak membuat pembelian panik sebaliknya merancang pembelian dengan membeli barangan yang perlu sahaja. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI